Kuala Rompin semakin pesat


Kuala Rompin semakin pesat dengan pelbagai aktiviti laut dan darat serta keindahan persekitaran yang menyegarkan pasti memikat pelancong

MELIHAT matahari terbit dari laut selepas Subuh di Kuala Rompin Pahang, memang menyegarkan mata sekali gus melapangkan fikiran.

Terletak di Daerah Rompin, Kuala Rompin semakin menjadi sebutan sebagai destinasi pelancongan mahupun kaki pancing yang mengenali Kuala Rompin sebagai �Bandar Udang Galah�.

Jolokan nama bandar itu yang dikaitkan dengan udang galah bukanlah satu omongan kosong atau legenda. Datanglah ke Kuala Rompin dan berkunjung ke Kampung Leban Chondong, kira-kira 16 kilometer dari bandar itu, anda boleh menikmati masakan udang galah dalam pelbagai rasa.

Tumpuan pelancong antarabangsa kini bukan saja untuk menikmati udang galah di bandar itu, sebaliknya mencuba gelanggang Laut China Selatan yang menempatkan ikan layaran serta marlin untuk dipancing.


Hobi memancing ikan layaran dan marlin menjadikan Kuala Rompin pusat sukan memancing baru yang menarik, malah dikatakan ikan layaran besar pernah ditemui di perairannya. Satu daripada lokasi jajaran ikan layaran terbesar di Asia, selain Amerika Syarikat dan Australia.

Royal Pahang Billfish International Challenge telah meletakkan Kuala Rompin sebagai pusat sukan memancing dunia dan mencuri tumpuan pemancing antarabangsa.


Kuala Lumpur-Bahau-Muadzam Shah-Rompin -Taman Negara. Dengan perjalanan kira-kira empat hingga empat jam setengah, tindakan anda mengunjungi Taman Negeri Endau-Rompin berbaloi. Dari Kuantan ke Rompin pun, kira-kira dua jam perjalanan.

JIKA anda dari Johor Bharu, anda hanya perlu ke Mersing-Tanjung Gemok, kemudiannya ke bandar Kuala Rompin sebelum meneruskan perjalanan ke Felda Selendang Satu dan beberapa minit kemudiannya anda sudah memasuki Taman Negeri Endau-Rompin.

Taman Negeri Endau-Rompin berpusat di Kem Geruggul dan di situ juga letaknya pertemuan Sungai Endau dan Sungai Sekinchin yang tenang, damai dan sejuk mata memandang. Kejernihan airnya dengan sedikit jeram berbatu untuk mandi dan berendam lama di airnya yang ternyata sejuk.

Rumah rakit yang terdapat di sepanjang Sungai Ropmin juga menjadi tumpuan, dengan pelbagai tujuan termasuklah menikamti suasana malam di rumah rakit, memancing ataupun meninjau kehidupan Sungai Rompin secara semula jadi.

Catat Ulasan

0 Ulasan